Thursday, October 23, 2008

Vol. 02 Kepentingan Perancangan Kewangan

Antara soalan atau alasan yang biasa didengar. "Nak merancang camne kalau gaji pun cukup-cukup makan! Masuk awal bulan. Habis hujung bulan."

Ya. Mungkin bagi anda, perancangan kewangan tidak penting bila mana pendapatan yang anda perolehi tu, tidak banyak mana. Maksudnya, anda tidak dapat menyimpan dengan gaji anda yang sedikit tu.

Tapi, sebenarnya. Banyak mana pun gaji anda, anda takkan terlepas dengan kesempitan wang. Dengan kata yang lebih mudah, anda akan sentiasa rasa "Masih lagi tak cukup gaji aku ni!"

Cerita pasal cukup atau tidak wang anda adalah bergantung kepada tabiat anda menabung dan menyimpan wang anda sama ada dalam bentuk simpanan atau pelaburan. Selain tu, perbelanjaan yang terkawal juga menjadi faktor utama kepada kecukupan wang untuk anda. Kurangkan berhutang terutama penggunaan kad kredit. Tentunya, bebanan hutang akan menambahkan kegusaran anda akan ketidakcukupan wang anda.

Baiklah. Kita bincang dengan lebih mendalam dan satu persatu tentang kaedah dan cara untuk merancang kewangan anda dengan lebih baik.

Apa yang anda mahu?

Tentukan matlamat anda pada masa akan datang. Gambaran tentang matlamat anda sesungguhnya memberikan anda sedikit motivasi untuk mengurus kewangan anda dengan baik dan memahami akan nilai sebenar wang anda tersebut.

Mungkin anda merancang untuk berkahwin dalam setahun dua ini. Nah. Gunakan matlamat anda itu sebagai pemangkin untuk anda mengurus dan merancang kewangan anda dengan lebih berkhemah lagi.

"Oh. Aku dah nak kahwin. Kena mula menyimpan dan berjimat ni. Hantaran pun dah makin tinggi sekarang."

Mana wang anda pergi?
Berikutnya, anda perlu menyenaraikan segala bentuk perbelanjaan anda sama ada kecil atau besar. Dengan ini, anda akan dapat menjejak ke mana perginya wang tersebut. Dan anda juga dapat menentukan sama ada sesuatu perbelanjaan itu perlu atau membazir. Ingat! Tak semestinya nilai yang besar itu sesuatu pembaziran seperti membayar perlindungan insuran dan nilai yang kecil itu perlu seperti membeli komik dan makanan ringan.

Dengan ini juga, anda dapat menyelidik dan membuat pemerhatian akan tabiat anda berbelanja dan nilai liabiliti yang anda perlu tanggung pada setiap bulan serta baki wang yang anda ada pada hujung bulan.

Sikap dan tabiat perbelanjaan anda
"Dah habis dah gaji aku. Makan mee segera lagi lah!" Kalau itu bentuk keluhan anda. Maka, anda perlu mengubah tabiat anda. Kehabisan atau keputusan wang adalah sesuatu yang dianggap berbahaya. Anda tidak akan tahu akan hal-hal kecemasan yang mungkin berlaku. Takkan nak meminjam kawan pula. Mereka pun mesti sama 'sesak' seperti anda.

Seperti yang saya jelaskan. Teliti perbelanjaan anda. Mungkin ada perbelanjaan bulanan yang perlu anda keluarkan dari senarai 'barang perlu beli' pada setiap bulan.

Anda juga perlu mula membuat simpanan. Simpanan inilah nanti yang akan menjamin keselesaan anda di kala anda memerlukan wang pada waktu kecemasan.
Membuat bajet untuk diri anda.
Mulakan sekarang. Anda perlu mencatit segala bentuk pendapatan dan perbelanjaan anda. Ingat, bukan semua wang pendapatan anda perlu digunakan untuk segala perbelanjaan. Anda perlu agihkan untuk simpanan. Biar sedikit, asalkan berkala. Anda juga perlu agihkan untuk pelbagai jenis hutang seperti kereta, rumah, kad kredit serta perbelanjaan utiliti semasa anda.

Dan sekiranya, anda mempunyai baki yang negatif, maka anda perlu mengubah tabiat perbelanjaan anda.

Tanpa perlu mengupah konsultan pada kos yang tinggi. Anda sebenarnya boleh mengurus dan merancang kewangan anda dengan baik. Apa yang penting adalah nawaitu dan matlamat anda.

Ingat, jangan fikir akan menambah pendapatan. Tapi fikir akan mengurangkan perbelanjaan. Itu yang perlu ditanamkan.

Sampai jumpa lagi.

0 comments: